SELAMAT DATANG KE BLOG ANYAMAN KAMI...

Sekapur Sirih…


Anyaman merupakan kraf tradisional warisan hasil tinggalan yang perlu diwarisi oleh generasi kini. Kepelbagaian anyaman menyumbang kepada terhasilnya pelbagai rekaan anyaman sama ada tradisional atau yang telah dikomersialkan.Untuk menyahut seruan kerajaan, bagi menggalakan rakyat untuk menghargai khazanah ini pelbagai usaha telah dilakukan. Diantaranya adalah dengan mewajibkan sukatan bidang kraf tradisional dalam Pendidikan Seni Visual diperingkat sekolah rendah dan sekolah menengah.Diharapkan “Blog” ini dapat memberi serba sedikit panduan untuk rujukan dan maklumat kepada para pelajar dan guru untuk mengetahui anyaman kraf tradisional di Malaysia dan dapat melihat paparan beberapa contoh pembuatan, rancangan mengajar dalam P&P, dan rekaan yang telah dihasilkan...

Khamis, 16 Oktober 2008

Anyaman Ribu-Ribu

Anyaman ribu-ribu Ribu -ribu adalah sejenis paku-pakis yang hidup liar terutama di kawasan belukar yang lembap. Terdapat beberapa jenis ribu-ribu iaitu ribu-ribu biasa, ribu-ribu besar/gajah dan ribu-ribu bukit/duduk atau akar sidin. Kegunaan utama ribu-ribu pada masa dahulu ialah sebagai bahan untuk dijadikan tali. Banyak rumah di Terengganu misalnya menggunakan tali ribu-ribu sebagai pengikat rabung kerana tali jenis ini tahan lama. Tetapi kini kegunaan ribu-ribu hampir terbatas kepada hasil kraftangan sahaja. Barang-barang yang diperbuat daripada ribu-ribu termasuk terendak, bekas tembakau, bekas sirih dan dompet.

Memproses Bahan

Ribu-ribu dipotong di bahagian pangkalnya. Cuma rakis utama yang diambil, yang lurus atau yang menjalar. Cabang-cabang yang tidak diperlukan, dipotong dengan pisau kecil. Kemudian ribu-ribu dibelah dua dan dikeringkan perlahan-lahan dengan menyidainya di tempat yang redup selama beberapa hari. Ini dilakukan untuk memastikan ribu-ribu tidak rapuh atau mudah patah. Menganyam ribu-ribu sama seperti menganyam buluh dan mengkuang. Untuk mengukuhkan anyaman, biasanya buluh atau rotan digunakan sebagai tulang atau kerangka barang yang dihasilkan. Motif-motif yang kerap digunakan dalam anyaman ribu-ribu ialah siku keluang, bentuk jaluran dan bentuk-bentuk geometri. Biasanya, barang-barang yang dianyam mengekalkan warna asli ribu-ribu. Bagaimanapun, perbezaan warna boleh dihasilkan iaitu dengan menyelang-nyelikan warna luar kulit yang lebih gelap iaitu coklat tua, dengan warna dalam kulit, coklat muda. Rata-rata, kraftangan ribu-ribu kini semakin terabai, kecuali di kalangan penduduk Sabah, terutama di sekitar Kampung Inukiran dan Kampung Tinanggol di daerah Kudat.

Tiada ulasan: